MAKAN ulam baik
untuk Kesihatan & Kecantikan. Ayat itu sudah biasa didengar, tetapi tidak semua mengetahui
akan khasiat sebenar yang terselindung di sebalik ulam-ulaman yang banyak
dijual di Pasar Malam Sayur Kampung, Chow Kit, Kuala Lumpur ini.
![]() |
Ulam-ulaman |
Dahulu, ulam
mungkin hanya terkenal di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung.
Tetapi, kini hidangan
ulam-ulaman semakin digemari warga kota termasuk
masyarakat bukan Melayu, malah turut menjadi antara hidangan wajib di
hotel-hotel terkemuka.
Ulam adalah sayuran
atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap
di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu,
baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal
belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.
Ulam diambil
daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan,
antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.
Ada antara ulam
cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis,
jering, petai, ulam raja dan sebagainya.
![]() |
Ulam Cekur Manis |
Sementara ulam
beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar
dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu
sendiri.
Ulam dikatakan
mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak
terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu
kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak
dimusnahkan oleh haba.
![]() |
Ulam Pucuk Gajus |
Selain itu, ulam juga
dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman
manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan
memudahkan perkumuhan.
Antaranya, ulam
pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai
herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat
membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.
Kangkung pula
sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di
tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit
buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.
Jering pula
didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat,
kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia
juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.
![]() |
Ulam Jering |
Sementara petai
juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang
berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak
yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus.
Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus,
zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.
Khasiat petai
bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut
ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat
yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing
manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak
yang kecacingan.
![]() |
Ulam Petai |
Disebabkan khasiat
yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya
busuk.
Sebolehnya,
jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu
membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi
pemakanan mahupun perubatan.
Untuk itu, para
petani perlu memainkan peranan menanam pokok-pokok ulam secara komersial bukan
hanya mengharapkan ia tumbuh melata di hutan atau kebun mereka.
Sumber : Utusan
Online
0 comments:
Post a Comment
Untuk sebarang persoalan, Sila hubungi talian 010-263 9329.
Anda digalakkan untuk terus menghubungi (Call @ SMS) talian tersebut untuk memudahkan pertanyaan anda boleh dijawab dengan pantas.
Jika anda meninggalkan komen di ruangan komen blog ini, mungkin persoalan anda lambat dijawab dan mungkin juga tidak sempat dijawab. Ini kerana kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk melihat ruangan komen blog ini kerana terlalu sibuk dengan tempahan dan proses penghantaran kepada pelanggan kami yang tidak kurang dari 20 orang setiap hari.
Oleh itu, anda digalakkan untuk menghubungi terus talian 010-263 9329 atau tinggalkan sahaja komen atau Message anda di ruangan Facebook Kami di http://www.facebook.com/ZarrazParamedical. Sekian, Terima Kasih.